Pengkalan Kempas, Sunyi Tapi Ada Sejarah Tersendiri

Pengkalan Kempas (yang juga dahulunya di kenali sebagai Keramat Ujung Pasir) adalah sebuah pekan sunyi tapi punya tarikan sejarah tersendiri yang tak di ketahui ramai.

Untuk pengetahuan, pekan Pengkalan Kempas Negeri Sembilan terletak kira kira 35 km dari Port Dickson.

Dah lama sebenarnya uncle nak ke Pengkalan Kempas tapi tak sampai-sampai. Kebetulan ada cuti hari Natal tempoh hari, apa lagi, terus terjah la ke Pengkalan Kempas untuk tengok sendiri apa ada di sana bersama travel buddies uncle.




kedai pengkalan kempas

Sampai sahaja ke pekan Pengkalan Kempas, uncle dapati pekan ini sangat sunyi. Tak ramai orang yang lalu lalang menggunakan jalan utama.

Tapi sunyi bukan bermakna pekan ini berhantu, mohon jangan salah faham pula ya hehe…

Rumah kedai banyak tutup di sekitarnya. Tak mengejutkan juga yang banyak kedai sudah tutup sebab kedai-kedai yang ada di sekitar kawasan utama berusia lebih 100 tahun!

sekolah lama pengkalan kempas

Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yik Hwa Pengkalan Kempas antara sekolah tertua yang masih lagi beroperasi sehingga kini.

Restoran makan tak banyak di kawasan pekan Pengkalan Kempas. Tapi ada tarikan unik yang buatkan uncle datang ke sini, iaitu Jeti Pengkalan Kempas dan Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas.

Jeti Pengkalan Kempas

Berhampiran dengan jalan utama terletaknya Jeti Pengkalan Kempas yang agak popular di kalangan kaki pancing.

jeti pengkalan kempas

Dikatakan di sini adalah “Tapak Bersejarah Nenek Moyang Cina Mendarat“.

Dulu-dulu waktu zaman kegemilangan getah, jeti ini adalah pusat di mana pedagang membawa bahan untuk berdagang seperti getah melalui Sungai Linggi menuju ke Port Dickson untuk di jual kepada peniaga-peniaga Cina.

Boleh di simpulkan yang jeti ni dahulunya suatu port yang penting untuk kegiatan perdagangan.

Menarik kan?

jeti pengkalan kempas

Kalau di lihat di kawasan sekitar, banyak sampan yang tak di gunakan tersadai di sini. Lalang-lalang pun banyak naik di kawasan sekitar jeti.

Tapi sampan tersadai tak bermakna tempat ni telah ‘mati’.

Harin ini, Jeti Pengkalan Kempas telah menjadi port untuk kaki pancing untuk memancing. Menurut sumber, dah lebih 10 tahun kawasan ini jadi kawasan tumpuan pemancing, terutamanya peminat Udang Galah.

Servis sewa bot turut di sediakan kepada kaki pancing yang ingin memancing di sekitar Sungai Linggi untuk hasil tangkapan yang lebih ‘lumayan’.

jeti pengkalan kempas

Air yang tenang, jangan di sangka tiada buaya

Terdapat papan tanda di kawasan jeti ini yang telah didirikan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan supaya pengunjung berhati-hati sepanjang berada di kawasan jeti ini.

Di mana ada udang galah, di situ ada buaya hehe…

Ada dakwaaan yang ramai pengunjung telah melihat kelibat buaya di kawasan Sungai Linggi, tapi berita baiknya sehingga hari ini belum ada apa apa berita mengenai buaya menyerang manusia.

Nota: Agak cuak sebenarnya uncle nak posing kat atas jeti ni. Ye la, kot kot tiba-tiba bergoyang jeti ni, mau gugur jantung.

Habis sahaja tengok-tengok kawasan jeti, kami terus ke tarikan seterusnya yang tak jauh dari situ iaitu Kompoleks Sejarah Pengkalan Kempas.

Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas / Keramat Sungai Udang

kompleks pengkalan kempas

Inilah sebenarnya tarikan utama yang membuatkan uncle nak sangat ke Pengkalan Kempas, Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas.

Di kompleks ini terletak Batu Megalit dan tersemadinya Makam Syeikh Ahmad Majnun.

kompleks pengkalan kempas makam

Menurut papan informasi yang terdapat di hadapan pintu masuk kompleks, pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, Syeikh Ahmad Majnun adalah seorang pendakwah yang menyebarkan syiar Islam.

Berdasarkan kepada inskripsi ‘baru bersurat’ yang terukir dipercayai Syeikh Ahmad Majnun meninggal dunia pada antara tahun 1467-1468 semasa dalam perjalanan menyebarkan syiar islam, dan kemudian di makamkan di sini oleh para pengikutnya.

Nota: Perhatikan semula gambar makam di atas, ada satu lubang di batu putih. Menurut kepercayaan, jika di masukkan tangan di lubang tersebut, boleh menyelesaikan pelbagai persoalan yang timbul pada masyarakat waktu itu. Ia juga di gunakan untuk mendapat pengakuan penjenayah. Berani cuba?

makam Ulama Sheikh Ahmad majnun

Menurut sumber yang lain pula, dikatakan Syeikh Ahmad Majnun di bunuh ketika pertembungan dengan Bendahara Tun Perak dan bala tentera yang di utuskan oleh Sultan Mansur Shah, pemerintah Melaka pada zaman itu. Ia adalah kerana berpunca daripada perbezaan mazhab yang dianuti pemerintah dan masyarakat pada masa itu (iaitu Mazhab Syafie) dengan mazhab yang di anuti Syeikh Ahmad Majnun dan pengikutnya.

larangan sembah berhala makam syekh ahmad

Nota: Tidak ada informasi terperinci di Kompleks Pengkalan Kempas mengenai kisah di sebalik Makam Syeikh Ahmad Majnun. Harap pihak pengurusan yang berkaitan, membuat lebih banyak kaji selidik berkenaan hal ini, dan mampu paparkan informasi yang di perlukan untuk pencerahan kepada pengunjung yang datang ke sini. 

batu megalith batu hidup

Terletak bersebelahan dengan Makam Syeikh Ahmad Majnun adalah Batu megalith atau ‘batu hidup’ yang berbentuk pedang dan senduk, dipercayai wujud sejak abad ke-2 dan ke-3 lagi.

Kalau di teliti, ada ukiran nama ‘Allah’ dalam tulisan arab di atas batu ini.

Menurut dakwaan, batu ini dikatakan hidup dan semakin membesar!

Nota: Batu Megaligh ini baru sahaja di angkat sebagai Warisan Kebangsaan di bawah kategori tapak arkeologi.

kompleks pengkalan kempas

Tak banyak informasi yang uncle dapat pada kunjungan tersebut uncle terpaksa google sendiri untuk mencari info mengenai sejarah tempat ini.

Harap perkongsian uncle mengenai Pengkalan Kempas ini menarik minat anda untuk datang dan lihat sendiri pekan Pengkalan Kempas yang sunyi tapi punya tarikan sejarah sendiri.

Nota: Pada sesiapa yang ada info berguna mengenai sejarah di Pengkalan Kempas, boleh kongsikan info yang anda ada di ruangan komen blog Uncle Zuan.

4,348 total views, 20 views today

Comments
  1. munirah
  2. Rafzan Tomomi
    • Uncle Zuan
  3. lankapo
  4. blogger lelaki
  5. raihanahahmad
  6. titan
  7. Noriza Rahman
  8. Nurul Shahira
  9. MawardiYunus
  10. raihanahahmad
  11. Raihanah Ahmad
  12. mrhanafi
  13. Migha Maneh
  14. akubiomed
  15. siti hazreen
  16. zik
  17. Fauzi Sabri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge